Hadiah Istimewa Untuk Rakyat Johor Sempena Kemenangan Piala Malaysia

JOHOR BAHRU: Kerajaan Negeri Johor mengumumkan cuti khas peristiwa pada Ahad ini (3 November) sempena meraikan kemenangan skuad Johor Darul Takzim (JDT) menewaskan Kedah di peringkat akhir Piala Malaysia 2019.

“Menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang DiPertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim dengan ini Kerajaan Negeri Johor memutuskan untuk mengisytiharkan hari Ahad, 3 November 2019, sebagai hari Cuti Khas Peristiwa.

“Pemberian Cuti Khas Peristiwa ini dibuat sebagai tanda meraikan dan memberikan penghargaan kepada semua penyokong pasukan JDT yang telah memberikan sepenuh komitmen dan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada pasukan JDT dalam mengharumkan nama negeri Johor,” ujar kenyataan rasmi daripada Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani.

Keputusan pengisytiharan Cuti Khas Peristiwa itu adalah selaras dengan peruntukan kuasa yang diberikan di bawah Seksyen 9(1) Akta Hari Kelepasan Am 1951 (Akta 369).

Dalam aksi final yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu malam, JDT melakar kemenangan dengan menundukkan Kedah dengan gol 3-0.

Kemenangan itu menyaksikan sejarah yang berulang, sewaktu kali pertama JDT menjulang Piala Malaysia pada 2017, dengan menewaskan Kedah 2-0.

Sumber : Astro Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *