Pada Hari Raya Pertama Zulin Aziz Luahkan Rasa Sedih Dan Terkilan

Pelakon dan pengacara Zulin Aziz meluahkan rasa sedih apabila dia tidak dapat menziarahi pusara bapanya buat pertama kali pada kedatangan lebaran kali ini.

Menurut Zulin atau nama sebenarnya, Farah Azleenda Abdul Aziz, 31, sudah menjadi kelaziman buatnya sekeluarga untuk pulang ke Pantai Remis, Perak pada Aidilfitri bagi membersihkan kubur arwah bapanya.

“Raya kali ini memang agak berbeza sedikit. Memandangkan kita masih dalam PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat), jadi, tak dapatlah saya untuk pergi menziarahi pusara arwah abah.

“Itulah yang selalunya saya akan lakukan setiap kali raya. Bersihkan kubur. Cuma, tahun inilah pertama kali tak boleh berbuat demikian,” katanya ketika dihubungi Gempak.

Zulin kehilangan bapanya pada 20 Julai 2010 ketika dia menyertai program realiti Pilih Kasih yang menjadi titik tolak kepada kerjaya seninya pada hari ini.

Begitupun, menurut Zulin, kedatangan Syawal kali ini, dia dia tetap meraikan lebaran bersama keluarga tersayang di ibu kota.

“Kita ni memang dah tak boleh nak keluar rumah, jadi raya ini, kita kena sambut jugalah. Walaupun hari raya kita terpaksa sambut sendiri-sendiri di rumah, janganlah kita jadikan hari raya itu sendu.

“Walau tak semeriah seperti biasa, kita raikan juga. Bahkan, untuk raya tahun ini, saya juga buat kuih sepanjang PKPB di rumah. Buatlah cornflake madu, kuih susu, tat nanas, biskut oat, untuk sendiri makan dengan keluarga,” ceritanya.

Sumber : GEMPAK

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *