PKP Akan Sambung Selepas 31hb Ogos Atau Tidak. Menteri Ismail Sabri Beritahu Apa Yang Akan Berlaku

KERAJAAN belum memutuskan sama ada akan menyambung Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) atau melaksanakan langkah lain selepas 31 Ogos ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia akan diputuskan selepas data jangkitan Covid-19 semasa dianalisa dengan lebih terperinci.

“Kita kena tengok keadaan terkini sebelum 31 Ogos ini dan akan bincang balik apa yang akan kita lakukan selepas tarikh itu.

“Dahulu kita pernah mencatat tiada jangkitan Covid-19 tiga hari berturut-turut pada awal bulan lalu.

“Jika tiada kadar jangkitan hingga 31 Ogos mungkin kita akan kata tak perlu lagilah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988). Namun waktu itu, kita kena jaga diri kita sendiri, bukan lagi mengharapkan barisan hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Kempen Pembudayaan Norma Baharu di Pagoh, hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri yang juga Pengerusi Kempen Pembudayaan Norma Baharu mengakui terdapat individu yang masih degil dan ingkar dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Katanya,ia termasuk mengabaikan pemakaian pelitup muka walaupun ia diwajibkan sejak 1 Ogos lalu.

Beliau berkata, denda RM1,000 ke atas individu ingkar memakai pelitup muka diharap memberi kesedaran kepada rakyat supaya mematuhi arahan ditetapkan.

“Polis diberi budi bicara sepenuhnya sama ada kompaun ataupun tahan individu yang masih berdegil untuk dihadapkan ke mahkamah.

“Setakat hari ini, 3,231 kertas siasatan sudah dihantar polis kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya. Peguam Negara berkuasa untuk tentukan sama ada nak buat tuduhan di mahkamah,” katanya.

Sumber : HMETRO ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *