Selepas Aishah Ganti Tokti Di Separuh Akhir AJL. Dato Siti Nurhaliza Tampil Beritahu Apa Yang Dia Rasa

PENYANYI Aishah menyedari dia memikul tanggungjawab besar menyanyikan lagu Datuk Seri Siti Nurhaliza berjudul Aku Bidadari Syurgamu di pentas Separuh Akhir Muzik-Muzik (SFMM35), pada malam Sabtu.

Aishah, 55, mengakui bukan tugas mudah menyanyikan lagu yang dipopularkan oleh seorang penyanyi terkenal dan dia perlu bersedia dengan pelbagai reaksi penonton terutamanya peminat.

“Selesai tanggungjawab yang sangat berat menyampaikan lagu Aku Bidadari Syurgamu… saya tahu macam-macam reaksi, ada yang suka ada yang tak suka. Saya rasa itulah risiko menyanyikan lagu orang yang popular.

“Permintaan untuk menyanyikan lagu ini datang dari panggilan Rozi (pengurus Siti Nurhaliza) bagi pihak Siti Nurhaliza Production petang Isnin lepas. Ya, saya ada lima hari untuk buat persediaan. Sebelum ini saya pernah dengar lagu ini sekali, masa mula-mula lagu ni lancar dan saya pula tak banyak tengok TV sekarang, jadi memang ketinggalan dalam perkembangan drama TV ni.

“Bukan mengada-ngada tak nak tengok drama tempatan cuma masa lapang saya banyak layan kraftangan saya… kemudian Ippo hubungi dan kami berbincang dan akhirnya fikir punya fikir kita pun setuju untuk teruskan,” katanya.

Aishah berkongsi mengenai tawaran yang diterima menyanyikan lagu asal Siti Nurhaliza itu menerusi Instagram pada Ahad.

Aku Bidadari Syurgamu ciptaan Ippo Hafiz dan lirik Siti Rosmizah merupakan antara 30 lagu yang bertanding bagi merebut tempat ke Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35)

Sementara itu, Aishah memberitahu dia bersetuju menerima tawaran tersebut kerana tertarik dengan lirik lagu tersebut yang begitu puitis dan menyentuh jiwanya.

Selain itu, dia tidak mampu menolak permintaan Siti Nurhaliza iaitu seorang penyanyi yang cukup dikagumi.

Persetujuan Aishah suatu penghormatan – Siti Nurhaliza

Siti anggap persetujuan Aishah menggantikan dirinya pada SFMM35 suatu penghormatan. Foto IG Siti Nurhaliza

Datuk Seri Siti Nurhaliza menyifatkan pemilihan Aishah mendendangkan lagu popularnya, Aku Bidadari Syurgamu pada Separuh Akhir Muzik-Muzik (SFMM) Ke-35, malam tadi, sebagai detik bersejarah.

Siti memberitahu, persetujuan Aishah untuk menggalas tanggungjawab itu dianggap suatu penghormatan.

“Apabila Kak Aishah bersetuju menyanyikan lagu itu, Siti anggap ia suatu penghormatan. Sebelum jadi penyanyi, ketika buat persembahan di majlis orang kahwin dan sebagainya, Siti sering menyanyi lagu Kak Aishah.

“Ketika menyertai Bintang HMI peringkat akhir, Siti menyampaikan lagu Kak Aishah. Kali ini, giliran Kak Aishah pula…. Ini seperti suatu sejarah bagi Siti,” katanya kepada BH Online.

Malam tadi, menjawab teka-teki ramai, Aishah tampil menggantikan Siti mendendangkan lagu ciptaan Ippo Hafiz dan lirik dihasilkan Siti Rosmizah itu, pada SFMM 35 di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam.

Sebagai bekas anak didik kepada komposer terkenal, Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan, penyanyi Anta Permana ini berkata, Aishah menjadi pilihan tepat kerana melodi lagu itu mempunyai sentuhan serupa dengan karya dihasilkan komposer terbabit.

“Bagi Siti, lagu ini dapat mengembalikan kegemilangan muzik zaman 1990-an dan mengingatkan kembali lagu dicipta arwah. Pastinya, anak-anak didik arwah sinonim dengan rentak lagu seperti ini.

“Kak Aishah tentulah salah seorang daripada anak didik arwah dan saya yakin beliau dapat menyampaikan lagu ini dengan baik,” katanya.

Keputusan mencari penyanyi gantian dibuat selepas pemenang Anugerah Juara Lagu (AJL) sebanyak tiga kali melalui Jerat Percintaan, Cindai dan Balqis itu memutuskan untuk tidak lagi bertanding di pentas itu.

Sebelum ini, beberapa nama di sebut-sebut sebagai penyanyi yang bakal menggantikan Siti seperti Misha Omar dan Liza Hanim.

Bagaimanapun, Misha dan Liza masing-masing menafikan mereka adalah penyanyi dimaksudkan.

Sumber : MSTAR ONLINE / BHARIAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *